BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, October 21, 2009

Cerpen : Akasia...oh...Akasia

Akasia ataupun nama saintifiknya Acacia auriculiformia merupakan sejenis pokok renek yang mempunyai bunga kecil berwarna kuning atau putih tersentuh dari lamunan bila tubuhnya bergegar lantaran tindakan seorang pemuda menyandarkan dirinya, sekaligus menamatkan lamunannya daripada memikirkan nasib anak watan tempat di mana ia hidup, kukuh berdiri dan subur menghijau. Bagaimana kukuh dan perkasa keadaan fizikalnya, begitu jugalah kukuh dan teguh perasaan prihatinnya terhadap keperibadian anak watan. Sama seperti semangat dan keperibadian yang dimiliki oleh seorang pahlawan Melayu Melaka yang sangat tersohor…Hang Tuah. Kadang-kadang pada satu ketika Akasia merasakan seolah-olah semangat yang ada pada Hang Tuah itu menular dan menerap masuk memenuhi segala urat-urat di segenap bahagian tubuhnya…batang, daun, pucuk malah hingga ke akar besar dan akar halusnya.

Semangat Hang Tuah yang mula menguasai dirinya itu terganggu sekali lagi apabila dia mendengar pemuda yang bersandar pada tubuhnya itu bermonolog sendirian sambil terengah-engah melepaskan lelahnya.

”Syukur Alhamdulillah akhirnya aku telah berjaya menamatkan perguruan dalam ilmu persilatan. Aku berjanji dengan ilmu yang telah aku peroleh ini, akan kuguna untuk mengembalikan keharmonian dan keamanan di kampungku.”

“Awas kau Sombeng! Hutang darah dibayar darah, hutang nyawa dibayar nyawa!. Kerana kau lah, aku telah kehilangan kedua orang tua yang aku sayangi. Sarang tebuan jangan sesekali kau jolok, buruk padahnya”, getus pemuda itu melepaskan kemarahannya.

Akasia mendengar dengan penuh simpati terhadap apa yang telah dialami oleh pemuda tersebut. Sama sekali dia tidak menyangka bahawa pemuda yang singgah sebentar di bawah rimbunnya itu, telah mengalami sejarah hidup yang sedih dan pilu. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dia mengamati betul-betul wajah anak muda itu dan terpancar pada wajahnya yang memperlihatkan keperibadiaannya sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan berbudi pekerti mulia.

Akasia berasa sedih. Dalam masa yang sama dia mendoakan semoga pemuda itu dapat menyempurnakan segala hasratnya dan berada dalam perlindungan Allah S.W.T. Perhatian yang diberikan dengan sepenuh hati terhadap pemuda itu tiba-tiba terhenti apabila anak muda itu menadah tangan dan berdoa.

Ya Allah! Engkau berilah petunjuk, kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk aku membela dan melindungi kaum keluargaku dan seluruh masyarakat kampungku daripada gangguan penjahat-penjahat, yang selama ini telah merobek kesejahteraan dan keharmornian kampungku.

Sambil meneguk bekalan air yang dibawanya, dia teringat kepada pesan gurunya, agar tidak bersikap takbur dan sombong setelah mendapat ilmu persilatan yang telah diporehi setelah menuntutnya selama tiga puluh purnama; malah harus menggunakannya ke jalan yang benar dan memberi manfaat kepada umat manusia. Beberapa ketika pemuda itu bingkas bangun untuk meneruskan perjalanan pulang ke kampungnya.

Akasia terus memerhati langkah pemuda itu sehingga hilang dari pandangannya. Terdetik di hatinya, perasaan yang bercampur baur…kagum, terharu dan gembira terhadap pemuda yang berehat seketika di sisinya tadi. Sikap keberanian dan kecekalan yang dimiliki oleh pemuda itu mengingatkan Akasia terhadap watak Hang Tuah yang menjadi idolanya. Semangat yang dimiliki oleh Hang Tuah seolah-olah telah meresap masuk dan bersebati dengan dirinya sehinggakan kadang-kadang dia merasakan pada satu-satu ketika, seolah-olah dialah yang menjadi Hang Tuah.

Apabila memikirkan kembali tentang pemuda yang ingin membela nasib kaum keluarga dan masyarakatnya itu tadi, sangat jelas pada tanggapan Akasia betapa perwatakan dan keperibadian pemuda itu sama sekali jauh berbeza dengan seorang pemuda yang datang bersama pasangannya lewat petang kelmarin.

Akasia mengimbas kembali betapa meluat dan bencinya ia melihat perlakuan oleh pasangan kekasih itu. Masih terngiang-ngiang pada pendengarannya terhadap kata-kata dan pujuk rayu yang dihamburkan oleh lelaki itu terhadap pasangannya, dengan tujuan untuk membuat perkara yang tidak baik. Apa yang sangat dikesali oleh Akasia ialah respon yang ditunjukkan oleh pasangan perempuannya, yang langsung tidak berusaha untuk menangkis dan memelihara harga diri dan maruahnya sebagai seorang wanita. Dengan rengekan manjanya, dan pakaian yang sangat menggiurkan itulah yang telah menghapuskan sama sekali benteng keimanan pasangannya yang telah sedia rapuh untuk melakukan kemungkaran yang tiada noktahnya.

Pada saat itulah, kemarahan yang ditanggung oleh Akasia telah berada pada kemuncaknya. Namun dia cukup sedar dia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya mampu berdoa kepada Allah S.W.T agar segala kemungkaran yang berlaku di depan matanya itu dapat dihalang. Dengan kehendak Allah S.W.T, doanya itu dikabulkan apabila sekonyong-konyongnya angin bertiup kencang dan salah satu daripada dahannya rekah lalu jatuh menimpa betul-betul di bahagian belakang kepala lelaki itu di saat dia hendak menanggalkan pakaian yang membaluti tubuh pasangannya itu.

Hal ini menyebabkan kedua-dua pasangan tersebut tersentak terkejut bercampur takut. Dengan keadaan di bahagian belakang kepala lelaki itu yang berlumuran darah, kedua-dua mereka dengan keadaan tergesa-gesa meninggalkan keadaan tersebut. Sambil bersyukur, Akasia menghembuskan nafas leganya kerana kemungkaran yang berlaku di depannya itu dapat dihalang.

Dia beristighfar dan terus melahirkan kekesalannya terhadap pemuda yang tidak pandai menjaga kehormatan diri dan mudah melampiaskan nafsu dengan cara yang sewenang-wenangnya, jauh sekali berbeza sikapnya dengan tokoh Hang Tuah yang disanjunginya.

Walaupun Hang Tuah dikurniakan dengan susuk tubuh yang gagah, perkasa, tampan dan menawan sesiapa sahaja perempuan yang memandangnya tetapi Hang Tuah tidak pernah mengambil kesempatan di atas kelebihan yang telah dianugerahkan kepadanya. Hang Tuah tetap menjaga kehormatan dan harga dirinya sebagai seorang Muslim, walaupun akhirnya dia difitnah melakukan hubungan sulit dengan dayang istana. Secara tiba-tiba kekentalan iman yang dimiliki oleh Hang Tuah itu memasuki diri Akasia yang merasa dengan doanya itu tadi dapat mencegah maksiat daripada berlaku secara berleluasa.

Imbasan kembali Akasia terhadap sikap yang menjengkelkan oleh pasangan kekasih tersebut tiba-tiba terhenti apabila dua orang pemuda datang menghampiri dan duduk berehat di sampingnya. Kedua-dua orang pemuda yang berusia dalam lingkungan pertengahan tiga puluhan itu kedengaran sedang membicarakan satu topik yang agak serius. Seperti biasa, Akasia memasang pendengarannya sambil terus memerhatikan perlakuan kedua-dua orang pemuda tersebut.

“Kau tidak seharusnya hanya berdiam diri Lazim! Ini soal maruah kau! Kau seharusnya mempertahankan bahawa tindakan yang engkau lakukan itu adalah wajar demi untuk mempertahankan keselamatan diri kau!”, kata Syarif mengingatkan temannya itu.

“Aku tidak sangka perkara begini akan terjadi. Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Aku bingung! Di satu sisi aku dibelenggu rasa bersalah yang teramat sangat kerana telah membunuh, tetapi di satu sisi yang lain aku merasa wajar untuk bertindak sedemikian demi untuk menyelamatkan diriku”, keluh Lazim.

“Itulah masalahnya Lazim. Orang tak akan tahu bahawa tindakan yang kau ambil itu adalah kerana untuk mempertahankan diri. Apa yang orang tahu kau telah membunuh! Kau telah membunuh Lazim! Sebab itu kau harus tampil untuk memperkatakan perkara yang sebenar”, bentak Syarif untuk memulihkan semangat Lazim yang semakin lemah itu.

“Kau masih ingat lagi tak cerita Hang Tuah Lazim?”, tanya Syarif yang secara tiba-tiba membawa perbualan mereka itu kepada watak lagenda wira Melayu iaitu Hang Tuah.

“Ya aku ingat, tapi apa kena mengena Hang Tuah dengan masalah yang aku ni?”, jawab Lazim dalam keadaan yang semakin bertambah bingung.

“Sungguhpun Hang Tuah itu terkenal dengan keperwiraannya, tetapi dia tidak berani untuk menyatakan kebenaran hanya semata-mata disebabkan rasa taat rasa setianya yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan, sedangkan fitnah yang ditujukan kepada dirinya itu jelas bertentangan dengan hakikat yang sebenarnya. Kau mesti menyatakan kebenaran Lazim! Jangan kau contohi kesilapan yang telah Tuah lakukan dulu”, kata Syarif dengan begitu bersemangat.

Lazim terdiam seketika, dan memikirkan ada benarnya apa yang telah diperkatakan oleh Syarif itu. Daripada riak wajahnya dia kelihatan sedikit bersemangat.

“Ya kau benar Syarif! Aku tak terfikir pun macam tu. Aku tak boleh mengulangi kesilapan Tuah. Berani kerana benar, takut kerana salah. Aku tak bunuh Semaun, malah akulah yang hampir mati dibunuhnya. Kalau ikutkan, orang macam dia tu memang tak patut hidup di dunia ini. Dah terlalu banyak kemungkaran yang telah dibuatnya. Merompak, memeras ugut, merogol dan kini mahu membunuh pula. Minggu lepas Pak Ngah Kudin hampir ditetaknya hanya kerana hal buah kelapa”, balas Lazim dengan bertenaga. Kelihatan perubahan sikapnya yang jauh berubah sejak awal mula perbualan mereka setibanya mereka berdua di bawah pohon Akasia itu tadi.

“Bagus Lazim, bagus. Inilah Lazim yang aku pernah kenal dulu. Kalau dah macam tu, jangan buang masa lagi. Kau harus segera bertindak. Laporkan hal yang sebenarnya kepada Tok Ketua agar dia tahu letak duduk perkara yang sebenar. Aku yakin bukan Tok Ketua sahaja yang percaya malah seluruh penduduk kampung kita akan memihak kepada kau Lazim. Mereka semua tahu siapa Semaun, malah hanya menunggu waktu sahaja bertindak. Aku sendiri akan sentiasa berada di sisi kau Lazim, usahlah kau bimbang”, kata Syarif meyakinkan kawannya itu.

“Terima kasih Syarif atas sokongan kau. Aku juga yakin bahawa aku di pihak yang benar. Kalau begitu, apa tunggu lagi…marilah kita ke rumah Tok Ketua sekarang”, sambut Lazim.

“Ayuh”, ringkas jawab Syarif.

Kedua-dua anak muda itu bingkas bangun daripada bersandar di tubuh Akasia dan berlalu pergi. Akasia memandang mereka yang berjalan dengan begitu bersemangat sekali hingga lenyap daripada pandangan. Walaupun kedua anak muda itu telah lama berlalu pergi, tapi kata-kata yang mereka ujarkan masih terngiang-ngiang pada pendengaran Akasia. Malah Akasia kelihatan seolah-olah mendapat suatu pemikiran dan tanggapan yang baru tentang Hang Tuah, pahlawan Melayu tersohor yang menjadi idolanya itu.

“Benar Tuah seorang yang hebat dan unggul. Terlalu banyak jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkannya, semata-mata untuk Sultan dan negara. Taat-setianya usah dipertikaikan, tidak ada siapa yang boleh menandinginya. Tapi Tuah tidak berlaku adil terhadap dirinya. Tuah tahu bahawa dia tidak bersalah tetapi Tuah langsung tidak membela dan pertahankan maruah dirinya, hanya kerana hendak menunjukkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan.”, Akasia melepaskan rasa kesal dan simpati terhadap idolanya itu. Perbualan dua anak muda tadi benar-benar meninggalkan kesan dalam dirinya.

“Tapi kau tetap hebat Tuah. Keperibadian yang kau miliki itu sebenarnya menandakan dan melambangkan itulah sikap dan jati diri orang Melayu. Kata keramatmu ‘Tidak Melayu Hilang di Dunia’ akan terus menjadi legasi kepada falsafah dan peradaban Melayu. Sayangnya cuma, kau terlalu amat menjaga kepentingan orang lain tanpa menghiraukan kebajikan dirimu sendiri. Agama kita juga menyarankan betapa kita harus memelihara maruah dan harga diri kita daripada sewenang-wenangnya diinjak oleh orang lain..”, keluh Akasia melayani perasaannya.

Akasia memikirkan terlalu banyak perkara yang telah berlaku terhadap dirinya dalam sehari dua ini. Walaupun dia hanya sepohon kayu, tetapi dia rasa bersyukur yang amat sangat kerana tidak mengalami masalah hidup yang terlalu kompleks seperti umat manusia. Macam-macam perangai dan ragam manusia yang singgah berteduh di bawahnya telah mengajarnya erti kehidupan. Ada yang memiliki sikap dan keperibadian yang mulia, dan ada juga yang seperti haiwan. Namun, jauh di sudut hatinya, Akasia yang kadang-kadang merasakan dirinya penuh dengan aspirasi Hang Tuah tetap meletakkan tokoh yang menjadi idolanya itu sebagai contoh manusia yang harus diikuti.

Tuesday, October 20, 2009



Akasia...oh..Akasia (
panjang ceritanya)


Pokok Akasia merupakan sejenis pokok dalam genus Acacia yang malar hijau yang tumbuh di Asia. Nama saintifiknya adalah Acacia auriculiformis.

Nak tahu lebih lanjut tentang
kenapa Akasia?
Erm...ikutilah bicara yang selanjutnya ye...

Sunday, October 18, 2009

ISTANA KESULTANAN MELAKA

Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di kaki Bukit St. Paul. Replika istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan senibina istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 14

Siapa Hang Tuah???

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Saturday, October 17, 2009

Ya...Tuah! namamu disanjung tinggi. Arcamu diukir supaya kami tidak melupai dirimu...Takkan Melayu Hilang di Dunia...Itulah kata-kata keramatmu, sentiasa menjadi pedoman kami menghadapi hari-hari yang semakin mendatang...



"Takkan Melayu Hilang Di Dunia."